Saturday 3 October 2015

KEBENARAN MERANCANG

Mengapa Kebenaran Merancang Diperlukan?


Menurut Akta Perancangan Bandar dan Desa, 1976 (Akta 172), Pihak Berkuasa Perancangan Tempatan adalah diberikuasa untuk bertanggungjawab dalam mengatur, mengawal dan merancang pemajuan serta penggunaan semua tanah dan bangunan yang terletak di dalam kawasan bidang kuasanya. Ini adalah untuk memastikan supaya semua pemajuan dan penggunaan tanah oleh seseorang individu dan pemaju-pemaju akan dijalankan dalam keadaan yang teratur dan tidak menyebabkan masalah pencemaran dan kacauganggu, kesesakan lalulintas dan tambahan beban infrastruktur, kehilangan nilai/ ameniti, banjir dan lain-lain kesan yang tidak diingini kepada kejiranan dan persekitaran, dan juga memastikan pemajuan baru adalah pada sesuatu tahap yang baik untuk didiami. Sebelum pemberian kebenaran merancang kepada sesuatu cadangan pemajuan, Pihak Berkuasa Perancangan Tempatan harus mengambilkira semua perkara yang perlu untuk perancangan yang berkesan. Ini adalah untuk memastikan cadangan pemajuan tidak menyebabkan masalah persekitaran yang tidak diingini, termasuk kesan sosial dan ekonomi, seterusnya mematuhi piawaian dan garispanduan perancangan. Khususnya Pihak Berkuasa Perancangan Tempatan perlu mengambilkira peruntukan-peruntukan Rancangan Struktur Negeri dan Rancangan-Rancangan Tempatan yang telah disediakan, sedang disediakan atau akan disediakan (Seksyen 22), Pihak Berkuasa Perancangan Tempatan perlu juga menyemak agar cadangan pemajuan mempunyai akses yang baik dan mematuhi semua syarat dan batasan hakmilik tanah, begitu juga dengan lain-lain kehendak perundangan.



Bila Kebenaran Merancang Diperlukan?



Anda perlu memohon dan diberi kebenaran merancang dari Pihak Berkuasa Perancangan Tempatan sebelum anda boleh menjalankan apa-apa "pemajuan". Definasi "pemajuan" mengikut Akta Perancangan Bandar dan Desa adalah luas dan meliputi:-


1. Perobohan bangunan
2. Pembinaan bangunan
3. Pindaan besar terhadap bangunan
4. Perubahan matan dalam penggunaan tanah atau bangunan
5. Kerja-kerja kejuruteraan, termasuk pembentukan tanah dan pembinaan jalan
6. Kerja-kerja perlombongan
7. Kerja-kerja perindustrian
8. Memecah sempadan dan pencantuman tanah


Dalam kes-kes tertentu, mungkin tidak begitu jelas dan anda adalah dinasihat menghubungi Jabatan Perancangan Bandar dan Pembangunan, Majlis Perbandaran Pulau Pinang sebelum menjalankan apa-apa pemajuan/perubahan matan.



Bagaimana Untuk Mendapatkan Kebenaran Merancang?


Anda perlu kemukakan permohonan kebenaran merancang mengikut cara yang ditentukan di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa, Kaedah-kaedah Pengawalan Perancangan (Am), 1995, yang mana perlu disertakan bersama-sama dengan:-


1. 2 salinan Borang A

2. Yuran Permohonan
3. Pelan Tapak (8 salinan untuk kawasan Bandar, 12 salinan untuk kawasan luar bandar atau 15 salinan untuk kawasan luar bandar yang berhadapan dengan Jalan Persekutuan)
4. Dokumen hakmilik tanah yang sah (IR/QT/FT)
5. Resit Hasil Tanah
6. Satu set borang JPB/KP (6 borang)
7. Dokumen hakmilik tanah/alamat pemilik-pemilik tanah yang bersempadan
8. 10 salinan Laporan Cadangan Pemajuan (LCP)
9. 2 salinan pelan akuan ukur (Certified print)
10. Borang Komputer 'Plan Tracking System'



Setelah permohonan anda diluluskan maka anda akan diberi Kebenaran Merancang melalui Borang C1.






Suatu kebenaran merancang, jika tidak dilanjutkan, akan luput dalam tempoh 12 bulan, sekiranya dalam masa tersebut, pemajuan masih belum dimulakan (Seksyen 2A(1)). Walau bagaimanapun, anda boleh mendapatkan perlanjutan atau perlanjutan tambahan kepada kebenaran merancang dengan mengemukakan permohonan perlanjutan melalui Borang B sebelum luputnya kebenaran merancang.



Apa Yang Harus Dibuat Selepas Memperolehi Kebenaran Merancang?



1. Anda tidak boleh memulakan pemajuan dengan serta-merta selepas mendapatkan kebenaran merancang, kerana anda masih memerlukan kelulusan-kelulusan yang lain seperti:- Pelan jalan dan parit untuk pembinaan jalan dan parit
2. Pelan bangunan dan permit untuk memulakan kerja pembinaan dan bangunan dibawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan
3. Pelan Pecah Sempadan
4. Pelan kerja tanah
5. Pelan Pembetungan
6. Pelan Lanskap
7. Lesen untuk perindustrian, perdagangan, pertubuhan makanan dan lain-lain untuk memulakan aktiviti
Anda harus menghubungi ejen anda untuk perkara-perkara tersebut.



Apakah Denda Yang Dikenakan Bagi Pemajuan Tanpa Kebenaran Merancang?



Kamu boleh didenda sehingga RM100,000.00 sekiranya disabitkan kesalahan oleh mahkamah, dan sekiranya kesalahan itu diteruskan, denda tambahan sehingga RM1,000.00 setiap hari berikutnya akan dikenakan. Kamu juga mungkin diminta untuk memulihkan tanah sejauh yang boleh untuk kembali kepada asal sebelum pemajuan.


No comments:

Post a Comment